(d) Kekangan Yang Perlu Dihadapi Oleh Guru Bagi Merealisasikan Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui TMK dan Cara-cara Mengatasinya
Mohamed Rashid dan Mohd Nasir (2003) dalam kajian “Refleksi Terhadap Pelaksanaan Sistem Pengajaran Dan Pembelajaran:Ke Arah Pengartikulasian Yang Sepadu” menyatakan bahawa pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran dalaman dan luaran akibat daripada kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Pembaharuan pendidikan bahasa terutama dari segi pengajaran-pembelajaran, sistem pengurusan pembelajaran dan peranan guru sudah tentu akan memberikan cabaran baharu kepada sistem pendidikan bahasa Melayu di negara ini menjelang abad ke-21. Pendidikan, sekolah dan profesion keguruan di negara ini perlu memainkan peranan yang lebih ke hadapan bagi membentuk generasi muda yang celik komputer dan dapat merealisasikan dasar dan matlamat negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dalam bidang TMK.
Berikut disenaraikan kekangan yang dihadapi guru bahasa Melayu bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran melalui TMK: 1) Kurang Kemahiran TMK
Penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu mempunyai hubungan yang signifikan dengan bidang pelbagai kecerdasan atau multiple-intelligences yang mencorakkan budaya pembelajaran yang tidak lagi terikat kepada pembelajaran konvensional. Kecekapan dan kemahiran komputer oleh guru dalam pembelajaran bahasa merupakan satu kebolehan yang dikaitkan dengan kecerdasan, perkembangan kongnitif, kreativiti dan inovasi, reka cipta, reka bentuk,visual, pembelajaran maya dan sebagainya. Tidak ramai para guru bahasa yang memanfaatkan internet sebagai satu alternatif yang menyediakan akses kepada pelbagai maklumat bahasa yang dapat membantu memantapkan bahan pengajaran dan pembelajaran. Walau bagaimanapun, penggunaan pembelajaran elektronik di sekolah rendah terutamanya penggunaan internet atau www masih lagi kurang. Kajian yang dilakukan oleh Rosli, Zamalia dan Shafiee (2001) menunjukkan tahap penggunaan TMK yang berkaitan pengajaran dan pembelajaran bahasa di kalangan guru adalah agak kecil. 1) Masalah Menghabiskan Sukatan Tajuk
Faktor guru bahasa Melayu kurang atau tidak menggunakan komputer untuk membantu pengajaran dan pembelajaran mereka disebabkan masalah utama yang dihadapi mereka adalah kekangan untuk menghabiskan sukatan tajuk kerana menurut mereka penggunaan internet memerlukan masa yang lama untuk dilayari dan diakses walaupun dari segi sikap mereka bersedia menggunakan komputer dalam pengajaran. Sementara Wiburg (1997), pula mengatakan bahawa untuk membina, membangun dan mengintegrasi sumber-sumber multimedia agak sukar walaupun mempunyai kemahuan menggunakan teknologi dalam pengajaran, mempunyai kemahiran teknikal tetapi masa dan sumber yang terhad akan terus menjadi penghalang utama dalam dunia digital.
2) Kekurangan Kemudahan Asas TMK dan Bahan Sokongan
Meluaskan literasi komputer menjadi agenda penting pendidikan bahasa Melayu selaras dengan dasar ICT negara pada abad ke-21. Era teknologi maklumat memerlukan sistem pendidikan dan institusi sekolah menggubal matlamat utama pendidikan bagi membentuk generasi muda yang celik dan mahir komputer. Satu kekangan penting pendidikan sekolah rendah ialah menyediakan kemudahan komputer untuk semua guru. Ini bermakna kemudahan komputer tidak terhad kepada guru tertentu atau golongan tertentu sahaja tetapi melibatkan keseluruhan guru dan murid tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan sebagainya. Kecanggihan kemudahan TMK yang terdapat di sekolah rendah pada masa ini adalah tidak seragam. Ada yang meletakkan komputer di dalam bilik darjah, ada juga yang meletakkan semua komputer ini di dalam makmal. Ada yang memiliki sambungan kepada Internet, ada yang tidak. Guru-guru bahasa Melayu haruslah terlebih dahulu mengetahui tahap keupayaan infrastruktur TMK yang terdapat di sekolah masing-masing sebelum merancang sebarang aktiviti pembelajaran bahasa Melayu yang menggunakan TMK. Ini bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan membuahkan hasil yang optimum sesuai dengan objektif pembelajaran bahasa. Cabaran masa kini dan akan datang dalam sektor pendidikan ialah penyediaan prasarana komputer yang lengkap untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran bahasa. Walau bagaimanapun, penyediaan kemudahan mengakses Internet sahaja tidak menjamin keberkesanan pembelajaran pengajaran bahasa Melayu secara on-line. Sikap guru bahasa Melayu dan pelajar terhadap penggunaan teknologi tersebut perlu dipertimbangkan untuk memastikan keberkesanannya sebagai kaedah pengajaran pembelajaran.
1) Sikap Negatif Guru
Daripada kajian , terdapat sebahagian guru yang telah sebati dengan kaedah tradisional dan sukar untuk membuat penyesuaian dengan teknologi instruksional (Becker & Watt, 1996). Ledakan era TMK memberi cabaran baharu kepada guru bahasa Melayu dan sistem pendidikan di sekolah rendah yang masih belum mengalami perubahan yang drastik dari segi pengadaptasian penggunaan teknologi baharu termasuk komputer, digital, elearning dan sebagainya. Penggunaan TMK di sekolah rendah telah membuka perspektif baharu tentang liberalisasi pembelajaran bahasa Melayu yang tidak lagi terikat kepada sistem dan organisasi bilik darjah. Kemajuan dan kecanggihan teknologi komunikasi maklumat membolehkan pembelajaran bahasa Melayu dapat diaplikasikan menerusi jendela dunia dan diadaptasikan dalam pembelajaran maya dengan menggunakan internet, melayariwebsite dan sebagainya.
1) Jurang TMK dan Digital
Ketidakseimbangan yang berlaku dalam masyarakat terutama dan segi ekonomi, pendapatan, pendidikan, kemudahan infrastruktur. pemodenan dan sebagainya telah memberi kesan terhadap kemajuan TMK dan digital. Sekolah, pendidikan dan guru bahasa Melayu di negara ini perlu memainkan peranan yang konstruktif bagi menangani jurang TMK dan digital yang berlaku, terutama di luar bandar dan dalam kalangan kaum. Sekolah dan profesion keguruan perlu memberikan perhatian serius bagi merapatkan jurang perbezaan TMK dan digital dengan meningkatkan program pendidikan TMK dan memperluaskan peluang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital, khususnya dalam kalangan pelajar miskin dan luar bandar. Lebih banyak peruntukan dan guru-guru bahasa Melayu yang terlatih dalam bidang TMK dan digital perlu disediakan bagi membantu pelajar dan sekolah melaksanakan misi dan visi membentuk masyarakat IT dan masyarakat digital.
1) Sumber Kewangan Terhad
Pihak sekolah yang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai berbagai-bagai kos penggunaan teknologi maklumat akan kembali kepada pembelajaran konvensional. Kelemahan kepimpinan sekolah yang kurang komited terhadap penggunaan TMK juga boleh menyebabkan sekolah tertinggal dari arus perubahan perdana yang berlaku. Sekolah juga gagal memainkan peranan positif bagi membangunkan pelajar supaya celik komputer, terutama di kawasan luar bandar. Perubahan ini akan memberikan cabaran besar terhadap tenaga pengajar bahasa Melayu. Mereka perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bahasa Melayu mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran bahasa menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi.
1) Pendedahan Kemahiran dan Latihan
Guru bahasa Melayu perlu didedahkan kepada idea baharu dan peluang dalam kerjaya profesion keguruan mereka seperti menghadiri kursus TMK jangka pendek. Pihak sekolah juga perlu mengambil inisiatif memajukan profesion keguruan dalam konteks penggunaan TMK dalam pendidikan agar guru-guru bahasa Melayu yang berkhidmat di sekolah menerima perubahan,kemahiran dan latihan TMK dalam kerjaya profession keguruan mereka. Program perkembangan staf yang melibatkan guru bahasa Melayu di sekolah-sekolah harus dirancang dengan baik. Ini boleh membawa kepada inovasi dan perlaksanaan dasar pembaharuan pendidikan dilakukan. Profesion keguruan harus sentiasa terbuka kepada perubahan, pembaharuan dan inovasi baharu melalui penggunaan TMK di sekolah rendah.
2) Kekangan Menghabiskan Sukatan Tajuk
Pendekatan pengajaran bahasa Melayu menggunakan TMK membantu meluaskan dimensi dunia TMK yang mencakupi penggunaan internet, melayari laman web, on-line, e-mel, program pendidikan yang diselaraskan di peringkat sekolah, dan perisian yang perlu dirancang sesuai dengan spesifikasi kurikulum bahasa Melayu sekolah rendah dan digunakan secara intensif dan ekstensif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Penggunaan multimedia bahasa, khususnya powerpoint dan layar tayang boleh memberikan kesan positif kepada perkembangan minat pelajar. Program pembelajaran disusun dengan sistematik dan dipantau oleh guru-guru yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang IT. Guru-guru dalam bidang bahasa Melayu perlu didedahkan kepada penggunaan internet, website, on-line, e-mel dan pendekatan dan kaedah lain berasaskan penggunaan komputer. Menurut Unit Komputer Dalam Pendidikan Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia, penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa perlu dirancang dengan baik, bukan secara “bidan terjun” atau sebagai aktiviti sampingan yang tidak ada kaitan dengan kurikulum. Penggunaan TMK bersesuaian dengan keperluan kurikulum bahasa Melayu dan menyokong pendekatan pengajaran dan pembelajaran.
1) Prasarana dan Bahan Sokongan
Pihak sekolah perlu memperbaiki infrastruktur komunikasi dan multimedia seperti kemudahan komputer dan sambungan internet serta makmal komputer yang menyediakan bahan bantu TMK bahasa Melayu . Selain itu, pihak sekolah juga perlu meningkatkan infrastruktur seperti rangkaian, kandungan tempatan, insentif dan perundangan untuk membentuk persekitaran TMK bahasa yang kondusif.
2) Guru Berfikiran Positif
Guru bahasa Melayu harus meninggalkan pengajaran-pembelajaran cara lama yang diamalkan selama ini, sebaliknya memikirkan pembelajaran dinamik dalam konteks penggunaan teknologi maklumat. Pemikiran positif perlu wujud di kalangan pelaksana dasar penggunaan TMK di semua peringkat sistem pendidikan di negara ini bagi membolehkan TMK diadaptasikan dan diperluaskan dalam budaya pembelajaran. Faktor persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan anggota adalah penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi (Steers & Black, 1994).
Kajian mendapati bahawa persediaan mental dalam kalangan guru bahasa Melayu merangkumi sikap yang positif terhadap agenda perubahan yang dicadangkan di samping memahami tujuan atau sebab-sebab di sebalik perubahan yang akan dilaksanakan. Perubahan sikap dan nilai terhadap IT diperlukan oleh guru dalam menghadapi cabaran baru dalam pendidikan (Ambigapathy, 2001). Justeru, para pendidik bahasa perlu menguasai ilmu komputer supaya penggunaan komputer dalam pendidikan tidak terjejas. Dalam mencapai objektif tersebut, guru-guru bahasa Melayu perlu diberi latihan dalam penggunaan teknologi baru untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah. (Ambigapathy & Suthagar, 2003). Menurut Robiah (2003) menyatakan bahawa lantas sikap guru yang positif akan lebih mendorong dan menggerakkan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah berjalan secara lancar, pantas dan menyeluruh. Guru bahasa Melayu perlu menjadi penggerak dan pencetus kepada perubahan masyarakat TMK dan pembentukan masyarakat digital menjelang tahun 2020. Mereka perlu bersedia melaksanakan tugas baharu bagi membangunkan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran .
Selain itu, guru juga perlu bersedia meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka bagi menjadikan komputer sebagai teknologi pengajaran dan pembelajaran menggantikan pendekatan konvensional yang kurang berasaskan inovasi teknologi
1) Penggunaan TMK dan Digital Lebih Meluas
Penggunaan komputer perlu dipergiatkan dan diperluaskan, terutama di sekolah-sekolah rendah di luar bandar. Penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan diperluaskan untuk memastikan lebih ramai pelajar mendapat faedah. Oleh itu, usaha akan dipergiat untuk menyediakan kemudahan komputer serta kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berbantu komputer, terutama di sekolah-sekolah di luar bandar. Pembangunan perisian TMK Bahasa Melayu perlu dipergiatkan. Manakala perisian untuk mata pelajaran lain juga perlu dibangunkan.
1) Bajet Kewangan Mencukupi
Pihak sekolah juga perlu menangani masalah kewangan yang mungkin dihadapi dari semasa ke semasa. Oleh sebab itu, soal implikasi kos sering kali menjadi kriteria bagi melaksanakan pembelajaran bahasa Melayu dan lain-lain subjek berasaskan komputer di sekolah-sekolah. Perancangan sekolah juga perlu mengambil kira perubahan yang berlaku terutama penggunaan TMK. Selain menyediakan kemudahan belajar berasaskan TMK, sekolah perlu merangka belanjawan pendidikan yang semakin meningkat, khususnya perbelanjaan yang melibatkan penggunaan kemudahan, peralatan dan perkakasan teknologi maklumat.
Kesimpulan
Penggunaan TMK dalam bidang pendidikan bahasa Melayu adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan bertaraf dunia. TMK membolehkan pembangunan pendidikan pada abad ke-21 di negara ini menjadi lebih kompetitif dan dapat bersaing di peringkat antarabangsa. Malaysia perlu melangkah ke hadapan bagi mengantarabangsakan status pendidikannya di peringkat global. Peranan istitusi pendidikan bagi meningkatkan kadar celik komputer yang melibatkan pengetahuan dan kemahiran komputer adalah bagi melahirkan masyarakat siber yang sangat bergantung kepada kepakaran guru.
Kaedah pengajaran tradisional chalk and talk perlu diubah untuk disesuaikan dengan kaedah mengajar menggunakan peralatan TMK seperti menggunakan projektor LCD, komputer dan persembahan PowerPoint. TMK menyediakan peluang kepada golongan guru bahasa sekolah rendah untuk mempelajari sesuatu perkara dan kaedah baru dalam proses pembelajaran serta pengajaran. Tambahan pula, TMK dapat mendedahkan mereka ini dengan cabaran-cabaran baru dalam dunia pendidikan mereka hasil daripada penggunaan TMK. Antara cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pihak guru termasuklah kekangan menghabiskan sukatan tajuk, sikap negatif guru, kekurangan kemahiran, kekurangan prasarana dan bahan sokongan, jurang TMK dan digital, sumber kewangan yang tidak mencukupi. Bagi mengatasi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru, pelbagai usaha akan dilaksanakan supaya TMK dapat digunakan dengan sepenuhya di sekolah rendah. Bagi melaksanakan pembaharuan ini, semua guru terutama yang mengajar dalam bidang bahasa Melayu hendaklah bersedia mengambil cabaran baharu dan melaksanakannya di sekolah. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) merujuk kepada kebolehan guru mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam pengajarannya serta kemampuan pelajar mengakses dan belajar dari bahan bahasa yang disediakan. Walau bagaimanapun, jika infrastruktur TMK tidak lengkap dan tidak efisyen, guru dan pelajar tidak dapat menjalani pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dengan baik dan pelaksanaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran akan gagal. Jadi, prasarana dan kemudahan TMK di sekolah hendaklah dipantau bagi membolehkan penggunaan komputer secara meluas dalam kalangan guru-guru berlaku . Masih banyak ruang kosong yang mampu diisi dan digunakan untuk mempertingkatkan lagi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dengan menggunakan komputer terutama dalam era globalisasi di mana ilmu boleh didapati hanya di hujung jari sahaja. Pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer merupakan faktor penting ke arah pembentukan sikap positif terhadap komputer yang masih kurang dalam kalangan guru. Usaha untuk mempertingkatkan pengetahuan dalam kalangan pendidik diperluaskan melalui kursus dan latihan yang berkesan perlu disarankan. Sewajarnya lebih ramai tenaga pengajar bahasa Melayu di institusi pendidikan mengorak langkah seiring dengan zaman ledakan maklumat dengan membina perisian-perisian kursus serta laman-laman web untuk membantu dan mengubah corak pengajaran dan pembelajaran ke arah pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Keadaan ini bersesuaian dengan peranan guru masa kini yang mengalami transformasi dari seorang pembawa dan penyampai maklumat kepada seorang pengurus, jurulatih dan fasilitator (Gallo & Houton, 1994; Killian, 1995). Oleh itu kejayaan pengajaran dan pembelajaran bahasa ini terletak di atas sejauh mana dasar, galakan, kemudahan prasarana yang dibekalkan dan pemantauan yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Seterusnya peranan yang dimainkan oleh pihak pentadbir dan terutamanya guru-guru bahasa Melayu amat penting untuk membawa penggunaan TMK ke bilik darjah dengan kebijaksanaan dan kemudahan yang sedia ada serta semangat, kesungguhan dan iltizam yang tinggi untuk menjayakannya.
Justeru pengaplikasian TMK dan rekabentuk pengajaran dalam penggunaan bahan multimedia mempunyai potensi untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan bermakna. Penggunaan komputer dan Internet diyakini akan dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran bestari yang menekankan tiga unsur penting iaitu, self access, self paced , dan self directed. Seterusnya merealisasikan gabungan pengajaran guru bahasa Melayu berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi serta penerapan nilai murni semasa pengajaran terutamanya semasa penerokaan ledakan sumber maklumat melalui Internet. Rumusan kesimpulan keberkesanan penggunaanTMK :
Bibliografi
Abd. Rahim Abd. Rashid. (2005). Profesionalisme Keguruan Prospek dan
Cabaran.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ambigapathy, P. Dan Suthagar, N. (2003). Literasi Teknologi Komputer: Persepsi
Dan Penggunaan di Kalangan Guru.dalam Pandian, A.(ED). Bahasa dan
Literasi : Penyelidikan dan Peninjauan Untuk Pendidikan, Serdang:UPM
Berita Harian. (7 Mei 2002). Kaji Semula Latihan Guru Sekolah Bestari.
Kuala Lumpur :Karangkraf Sdn.Bhd.